w3Lc0m3


Sunday, July 25, 2010

Kawal pengambilan minuman '3-in-1'

Penggunaan produk minuman '3-in-1' yang kini menjadi pilihan kebanyakan masyarakat perlu dikawal pengambilannya kerana
ia boleh memudaratkan kesihatan jika diambil secara berlebihan.

Pensyarah Jabatan Pemakanan dan Dietetik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Dr Roslee Rajikan berkata pengguna perlu bijak membuat pilihan dengan melihat label nutrien atau zat makanan pada produk berkenaan.

"Jika ambil produk ini sekali sekala tanpa berlebihan saya rasa tidak timbul masalah. Tetapi jika sehari lima hingga enam kali, mungkin boleh timbul masalah," katanya semasa ditemubual Zulkifli Bujang dalam program Kerusi Panas di Radio 24.

Dr Roslee berkata pengguna tidak boleh mengawal pengambilan gula dengan pengambilan minuman 3-in-1, berbanding jika menyediakan sendiri minuman.

Menurut kajian Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP), rakyat negara ini mengambil secara purata 26 sudu teh gula setiap hari, iaitu tiga kali ganda lebih tinggi daripada saranan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Dr Roslee berkata untuk mendidik masyarakat mengurangkan pengambilan gula bukan satu perkara mudah meskipun pelbagai kempen diadakan untuk menyedarkan masyarakat.

"Tetapi ramai juga orang yang telah mempunyai kesedaran telah beralih kepada corak pengambilan yang lebih baik. Dulu tidak pernah dengar teh tarik kurang manis dan teh O kurang manis. Tetapi sekarang sudah jadi perkara biasa," katanya.

Dr Roslee berkata meskipun kerajaan menambah bekalan gula sebanyak 15 peratus daripada biasa sebagai persediaan menyambut perayaan, orang ramai perlu bijak mengawal penggunaannya.

Beliau juga menasihatkan individu yang mempunyai ibu bapa atau keluarga yang menghidap diabetis supaya mengawal pengambilan gula dan mengamalkan pemakanan sihat bagi mengurangkan risiko menghidap penyakit yang sama.

"Memang ada sedikit pengaruh genetik kepada perkembangan penyakit ini. Tetapi kita tidak boleh menyalahkan ibu bapa (yang menghidap diabetis) sedangkan kita mempunyai keupayaan untuk mengubah cara hidup terutama pengambilan makanan yang sihat serta bersenam," katanya.

- Bernama

No comments: