KUALA LUMPUR 24 Sept. – Seminggu selepas ditangkap oleh penguat kuasa agama, pasangan pelakon Norman Hakim dan Memey Suhaiza didakwa masih tinggal bersama di sebuah premis perniagaan di Taman Ukay Perdana, Ampang, dekat sini.
Perkara tersebut didedahkan oleh seorang jiran kepada pelakon Norman di premis berkenaan ketika memberi keterangan dalam kes khalwat pasangan itu di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur, dekat sini hari ini.
Muhamad Yusri Abd. Razak, 55, berkata, kedua-dua tertuduh tetap tinggal bersama sehinggalah pada awal tahun ini, walaupun prosiding kes tersebut sedang berjalan.
Saksi pendakwaan keenam itu memberitahu, sebanyak lapan aduan telah dibuatnya melalui panggilan telefon kepada penguat kuasa Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), namun tiada tindakan yang diambil oleh jabatan tersebut.
Menurut pereka dalaman tersebut, pihak penguat kuasa agama tidak membuat sebarang tangkapan atas dua alasan iaitu terlibat dengan banyak operasi cegah maksiat dan kes tersebut masih dibicarakan di mahkamah.
Ditanya oleh Pendakwa Syarie, Muhamad Nazri Basrawi berkenaan tujuan dia ingin menegakkan kebenaran sehingga sanggup memberi kenyataan di sebuah rancangan hiburan dan kesanggupannya menjadi saksi dalam perbicaraan itu, saksi tersebut berkata:
‘‘Seperti yang saya beritahu sebelum ini, terlalu banyak pembohongan yang dibuat oleh Norman dan Memey melalui kenyataan mereka kepada media, sebagai contoh, kenyataan Memey yang mengatakan bahawa dia tidur di bilik berasingan.
“Tetapi sebagai jiran di sebelah premis pejabat tersebut, saya saksikan dengan mata sendiri, perkara tersebut adalah sebaliknya.’’
Peguam Syarie, Fakhrul Azman Abu Hassan yang mewakili kedua-dua tertuduh bagaimanapun membantah keterangan tersebut dan meminta saksi itu mengemukakan bukti-bukti bahawa anak guamnya pernah mengeluarkan kenyataan demikian.
Hakim Syarie, Salehan Yatim yang menerima bantahan tersebut kemudian mengarahkan Muhamad Yusri membawa keratan akhbar berkenaan kenyataan artis terbabit pada prosiding akan datang.
Norman Hakim dan Memey Suhaiza yang baru melangsungkan pertunangan pada 13 September lalu sebelum itu hadir bersama dengan menaiki sebuah kereta.
Norman atau nama sebenarnya, Mohamed Norhakim Zaidon, 33, dan Memey, 21, dibicarakan atas tuduhan berada bersama dalam keadaan yang menimbulkan syak di antara pukul 1.45 pagi dan 3 pagi, 30 Oktober 2008 di pejabat beralamat 4-1A, Jalan UP 1/2, Taman Ukay Perdana, Ampang, dekat sini.
Norman didakwa mengikut Seksyen 29(1)(a) Enakmen Jenayah Syariah Selangor 1995, manakala Memey atau nama sebenarnya Suhaiza Suhaimi pula dituduh di bawah Seksyen 29(1)(b) enakmen sama.
Kedua-dua seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda RM3,000 atau kedua-duanya jika disabitkan kesalahan.
Perbicaraan bersambung pada 15 Oktober ini.
No comments:
Post a Comment