w3Lc0m3


Blogger Graphics

Tuesday, September 28, 2010

Panggung pertama di Terengganu



SELEPAS sekian lama Terengganu sepi tanpa sebuah pawagam, TGV Mesra Mall dibuka atas permintaan ramai.


JIKA sebelum ini penduduk Terengganu perlu memandu jauh sehingga ke negeri-negeri jiran untuk menonton filem-filem menarik, kini mereka tidak perlu bersusah payah dengan adanya panggung wayang baru yang mula beroperasi 25 September lalu di Kemaman.

Pawagam terbaru berkenaan yang mempunyai lima panggung dengan 780 tempat duduk, dibangunkan di dalam pusat beli-belah serba moden iaitu Mesra Mall yang bernilai RM100 juta serta dimajukan oleh KLCC (Holdings) Sdn. Bhd.

Ketua Pegawai Operasi TGV Cinemas, Kenny Wong berkata, TGV ingin membekalkan semua orang termasuk pelancong dengan pengalaman menonton filem yang menghibur dan menyeronokkan.

"Dengan pembukaan multipleks ini, penduduk Kemaman kini boleh menyelami keseronokan menonton wayang yang dijanjikan oleh TGV Cinemas," katanya.


FILEM-FILEM terbaru yang ditayangkan di TGV Mesra Mall.


Menurut beliau, TGV Mesra Mall menampilkan reka bentuk serba baru dan kontemporari yang berasaskan konsep keremajaan, selaras dengan usaha TGV Cinemas untuk menarik minat golongan muda.

"Wajah baru ini diperkenalkan pertama kali sempena pembukaan multipleks Wangsa Walk April lalu yang mendapat sambutan menggalakkan.

"Reka bentuk yang menitikberatkan keselesaan penonton dan memperlihatkan persekitaran berasaskan gaya hidup serta ruang menunggu yang lapang akan membuatkan penonton berasa santai sementara menunggu tayangan filem bermula," katanya.

Mesra OKU

Tambahnya, tempat duduk dalam pawagam memberikan ruang antara tempat duduk yang lebih lebar dan ruang letak kaki yang lebih panjang untuk menjamin keselesaan pengunjung.

Ujarnya, multipleks itu juga menitikberatkan golongan kurang upaya (OKU) dengan menyediakan keperluan tandas yang direka bentuk khas untuk mereka termasuk laluan bagi kerusi roda dari foyer ke pawagam.

"Kami cuba menyediakan ruang santai yang sempurna untuk pelanggan kami kerana kami mahu menjadikan pengalaman ke pawagam bukan sahaja sekadar menonton wayang tetapi untuk bergembira bersama insan tersayang," katanya.


Mesra Mall di Kemaman menjadi lokasi panggung wayang pertama di Terengganu.


Sebagai menghargai sokongan penonton di Terengganu, sempena pembukaan TGV Mesra Mall baru-baru ini, TGV memberikan ganjaran tiket percuma untuk dua sesi pertama tayangan pada hari pembukaan. Sebanyak 1,000 tiket habis diberikan kepada pengunjung pada 25 September lalu.

Selain itu, mereka yang membeli set kombo pula mendapat minuman Coca-cola atau F&N Seasons Soya dalam tin secara percuma.

TGV Cinemas adalah pemilik dan pengendali pawagam multipleks terulung di Malaysia yang terletak di pusat beli-belah utama di Kuala Lumpur, Selangor, Negeri Sembilan, Perak, Pulau Pinang dan Johor.

Setakat ini TGV sudah mempunyai 15 multipleks dengan 114 skrin dan hampir 23,000 tempat duduk.


sumber : kosmo

No comments: