PIALA Dunia di Afrika Selatan menyaksikan beberapa bintang muda mula menjadi perhatian dan sudah ada yang ingin melihat aksi mereka pada Piala Dunia seterusnya di Brazil.
Berikut antara nama yang disebut-sebut akan menyinar pada Piala Dunia Brazil 2014.
Nassim Ben Khalifa (Switzerland, 18 tahun)
Penyerang tinggi lampai berdarah Tunisia meraih Kejuaraan Bawah 17 tahun Eropah di Liechtenstein awal tahun ini. Pemain berbakat besar itu menjaringkan empat gol dalam tujuh perlawanan pada kejohanan itu dan sudah pun disambar kelab Jerman, VfL Wolfsburg.
Borja Gonzalez (Sepanyol, 17)
Seorang lagi pemain berbakat besar yang lahir menerusi akademi bola sepak Atletico Madrid. Gonzalez adalah antara sandaran utama pada masa depan untuk bola sepak Sepanyol. Dia sudah mula berlatih dengan pasukan utama di Stadium Vicente Calderon selama setahun dan mencipta nama apabila menjaringkan lima gol dalam enam perlawanan pada Piala Dunia B-17 tahun tahun lalu.
Sebastien Gallegos (Uruguay, 18)
Gallegos adalah pemain sayap zaman moden yang memulakan karier di bahagian pertahanan kiri dan dia semakin selesa dengan posisi itu. Berkebolehan, pantas dan mempunyai kelebihan ledakan kaki kiri menyaksikannya pernah terpilih untuk berlatih di Barcelona dalam tempoh singkat ketika usia 15 sebelum kini bersama Atletico Madrid.
Connor Wickham (England, 17)
Penyerang Ipswich Town sering dikaitkan dengan beberapa kelab utama sejak 12 bulan lalu selepas mempamerkan aksi menakjubkan di bawah kendalian Roy Keane. Pemain yang berharga £8 juta (RM32 juta) itu menjaringkan tiga gol bersama England ketika Kejohanan B-17 Eropah dan sudah melakukan 24 penampilan bersama kelabnya dengan menjaringkan empat gol musim lalu.
Neymar (Brazil, 18)
Bersama Santos ketika ini, pemain yang mendapat gelaran ‘Robinho dan Pele baru’ itu menolak tawaran untuk berpindah ke West Ham dengan nilai perpindahan £12 juta (RM49 juta). Nemar mula menjadi pemain bintang di Brazil dengan sentuhan tajam, mampu menggunakan kedua-dua belah kakinya dan penyudah yang baik.
Sani Emmanuel (Nigeria, 17)
Pemain terbaik pada Piala Dunia B-17 di tanah airnya sendiri. Emmanuel mempunyai tenaga yang hebat dan menjaringkan lima gol termasuk jaringan penalti ketika menentang Argentina dan menjadi tunjang utama ketika bertemu Sepanyol.
Alan Dzagoev (Russia, 20)
Bintang CSKA Moscow ini baru berusia 20 tahun tetapi sudah mencipta nama bersama skuad kebangsaan dan dia disebut-sebut pemain masa depan skuad Russia. Bermain di posisi tengah yang sering mencipta gerakan untuk rakan sepasukan, dia mula mendapat gelaran ‘Andrey Arshavin yang baru’.
Yaya Sanogo (Perancis, 17)
Masih belum memberikan impak pada peringkat antarabangsa tetapi Sanogo mula menjadi pemain utama ketika menyarung jersi skuad B-16 dan B-17 Perancis. Penyerang tinggi lampai itu sudah menjaringkan 18 gol dalam 18 penampilan untuk skuad B-16 dan membuat penampilan pertama untuk Auxerre pada akhir musim lalu.
Romelu Lukaku (Belgium, 17)
Lukaku pernah menjawab panggilan daripada Didier Drogba baru-baru ini di mana bintang Chelsea itu mahukan pemain Anderlecht itu untuk turut beraksi bersamanya di Stamford Bridge. Lukaku sering dibandingkan dengan bintang Chelsea itu. Menariknya, kedua-dua bintang ini muncul penjaring terbanyak dalam liga masing-masing.
Eduardo Salvio (Argentina, 20)
Dia adalah penyerang untuk Argentina dan Atletico Madrid. Eduardo masih belum memberikan impak di Sepanyol tetapi dia sering digelar ‘Sergio Aguero yang baru’ walaupun bermain di posisi sayap untuk Atletico.
3 comments:
mana thomas mueller saye???
huhu..
nk mueller.. :D
die dh tua la...
ni yg under-20..
prospect player..hehe
hahaha..
biarla tua pun..
tp tetap di hati aku..
hahahaha
Post a Comment