w3Lc0m3


Monday, October 18, 2010

Projek mega Mekah siap menjelang 2012

Datuk Bandar Mekah Dr Osama Al-Bar berkata beberapa projek mega yang dilaksana di kota suci ini dijamin siap menjelang 2012.

Dipetik berkata demikian oleh akhbar Saudi Gazette hari ini, Osama yang juga Pengerusi serta Ketua Eksekutif Pihak Berkuasa Pembangunan Mekah berkata jaminan itu bersandarkan kepada arahan Raja Abdullah.

Antara projek berkenaan ialah Lebuh Raya Raja Abdul Aziz yang menghubungkan Mekah dan Jeddah, katanya.

Beliau berkata pembinaan lebuh raya itu sudah bermula dan ia akan menjadi prototaip untuk pembinaan jalan raya di wilayah tersebut pada masa depan.

Satu lagi projek yang hampir siap ialah lapan rumah penyembelihan yang dilengkapi peralatan moden dan akan diurus oleh Bank Pembangunan Islam.

Juga dalam pembinaan sekarang ialah empat terowong pejalan kaki yang menghubungkan daerah Al-Hujun dan Al-Jarwal dengan Masjidil Haram, dan dipercayai dapat mengatasi masalah kesesakan lalu lintas di kawasan terbabit.

Osama juga dilapor berkata projek membina 5,000 unit rumah juga telah bermula dan apabila siap kelak akan diberi kepada penduduk terutama mereka yang rumahnya dirobohkan.

Selain itu, sembilan stesen monorel yang menghubungkan Padang Arafah, Mina dan Mudzalifah juga hampir siap, katanya.

Projek-projek lain yang diarahkan siap menjelang 2012 oleh Raja Abdullah ialah pembinaan ruang tambahan di timur Masjidil Haram, projek Jabal Omar dan sistem keretapi laju antara Mekah dan Madinah.

--Bernama

No comments: